Sunday 11 March 2012

Kerjaya Polis


SEJARAH KERJAYA POLIS

Sejarah kepolisan di Malaysia bermula dengan termaktubnya Piagam Keadilan di Pulau Pinang pada 1807. Sungguhpun demikian, peranan kepolisan telah bermula sejak awal lagi, iaitu pada zaman Kesultanan Melayu di mana wujudnya undang-undang dan penguatkuasaan undang-undang tersebut. Undang-undang yang wujud pada zaman tersebut lebih menjurus kepada undang-undang adat ataupun undang-undang syariah sementara penguatkuasaan dijalankan oleh institusi Temenggong serta para hulubalang. Manakala Sistem kepolisan yang moden dan teratur di negara ini bermula dengan berkuatkuasanya 'Charter of  Justice' di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807. Piagam tersebut telah menjadi asas kepada peraturan dan undang-undang yang jelas kepada pihak yang dipertanggungjawab menyelenggarakannya dan menandakan bermulanya penubuhan pasukan polis pertama yang moden di negara ini.

               Perkembangan politik dan ekonomi di Tanah Melayu telah membawa perubahan pada pasukan polis. Sistem kepolisan di negara ini telah beberapa kali mengalami perubahan sehinggalah membawa kepada penyatuan pentadbirannya di bawah Panji-Panji Polis Diraja Malaysia pada 16 September 1963. Selepas Tanah Melayu bebas dari pemerintahan Jepun, pada 1 April 1946 Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat, Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, telah digabungkan di bawah Pasukan Polis Malayan Union, dengan pemerintahan pasukan berpusat di Kuala Lumpur.
             Pada tahun 1948, pihak komunis telah melancarkan pemberontakan bersenjata dengan tujuan untuk menubuhkan sebuah Republik Komunis di Malaya. Bagi menghadapi ancaman itu, kerajaan telah mengisytiharkan Darurat pada 16 Jun 1948. Semasa perjuangan menentang pengganas komunis selama 12 tahun, 1,246 orang pegawai dan anggota polis telah terkorban, serta 1,447 orang lagi cedera. Berpunca daripada tindakan berani anggota polis seramai 6,711 orang pengganas telah dihapuskan dan 1,289 lagi berjaya ditawan. Bagi menghalang orang-orang Asli dipengaruhi oleh anasir komunis, Pasukan Senoi Praaq yang terdiri dari pemuda-pemuda Orang Asli telah ditubuhkan pada Mei 1956. Sebagai menghargai kerjasama dan jasa yang diberikan oleh Senoi Praaq, pasukan Rejiman ke 22, British Special Air Services (SAS) telah mentauliahkan Beret Merah mereka kepada Senoi Praaq. Beret ini masih menjadi kebanggaan Senoi Praaq sehingga kini.

Perjuangan dan pengorbanan serta khidmat bakti anggota polis dalam mempertahankan negara dari ancaman dan pemberontakan bersenjata pengganas komunis semasa Darurat 1948-1960 telah membawa kepada penganugerahan gelaran 'DiRaja' kepada pasukan polis oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad pada 24 Julai 1958. Pada 11 November 1961, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan pula menganugerahkan Panji-Panji DiRaja kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Pada 16 September 1963, Pasukan-pasukan Polis di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah disatukan dan dikenali dengan nama Polis Diraja Malaysia dengan diperintah oleh seorang Ketua Polis Negara.

            Pada 2 Disember 1989 Perjanjian Damai antara Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditandatangani di Haadyai, Thailand. Dengan termeterainya perjanjian tersebut PKM telah meletakan senjata dan berakhirlah perjuangan parti tersebut. Pada 17 Oktober 1990 pula Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan Biro Ke-2, Parti Komunis Kalimantan Utara juga telah  ditandatangani di Kuching, Sarawak bagi menamatkan semua kegiatan bersenjata oleh Biro Ke-2 Parti Komunis Kalimantan Utara di Sarawak. Dengan perletakkan senjata kedua-dua parti komunis tersebut, Malaysia kini bebas daripada ancaman komunis, yang sering menggugat keamanan dan keselamatan negara ini, perhatian kini lebih banyak ditumpukan terhadap isu-isu pembangunan.

            Polis Diraja Malaysia kini bergerak selari dengan wawasan kerajaan dengan memberi tumpuan kepada usaha membanteras jenayah dan dadah. Di samping itu PDRM juga terlibat dalam usaha mencegah kemasukkan pendatang asing tanpa izin, membanteras lanun dan pemeliharaan alam sekitar seperti mencegah pembalakan haram. Pasukan polis juga bertanggungjawab  dalam  menentukan jalinan mesra dengan orang ramai terus dipelihara agar kerjasama di antara kedua pihak berjalan lancar di samping menonjolkan imej polis sebagai sahabat yang mesra dan bertimbang rasa. Dengan usia PDRM yang  ke-200 tahun pada 25 Mac 2007, pasukan polis juga mengharapkan agar  orang ramai turut sama membantu pasukan polis menangani sebarang ancaman khususnya yang melibatkan jenayah, supaya keamanan dan keharmonian yang kita kecapi pada hari ini dapat diwarisi oleh generasi yang akan datang.

Polis Diraja Malaysia terdiri daripada 93,348 orang pegawai dan anggota. Keanggotaan ini mencerminkan kepelbagaian penugasan yang dijalankan oleh PDRM, dari Tugas Am yang menjalankan tugas tradisional kepolisan dan sentiasa berdampingan dengan rakyat, sehinggalah ke Pasukan Gerakan Am yang menjalankan tugas-tugas 'non-regulatory' seperti pencegahan kemasukan pendatang tanpa izin dan peperangan menentang kebangkitan pengganas komunis suatu ketika dahulu. Dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang disandarkan oleh rakyat, PDRM dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam. Kumpulan ini memainkan peranan yang penting dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan negara.

BIDANG TUGAS PEGAWAI POLIS
Seksyen 20 Akta Polis menyenaraikan tugas-tugas pegawai polis seperti berikut:-

*      Menangkap semua orang yang dia diberi kuasa oleh undang-undang untuk ditangkap;
*      Memproses risikan keselamatan;
*      Menjalankan pendakwaan;
*      Memberi bantuan dalam melaksanakan mana-mana undang-undang berhubungan dengan hasil, eksesais, kebersihan, kuarantin, imigresen dan pendaftaran;
*      Memberi bantuan dalam mengekalkan ketenteraman di pelabuhan dan lapangan terbang Malaysia, dan dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan kelautan dan pelabuhan;
*      Melaksanakan saman, sapina, waran, perintah memenjara dan proses-proses lain yang dikeluarkan dengan sah oleh mana-mana pihak berkuasa yang kompeten;
*      Mempamerkan maklumat;
*      Melindungi harta yang tidak dituntut/hilang dan mencari pemunyanya;
*      Menyita binatang-binatang yang berkeliaran dan menempatkannya dalam kandang awam;
*      Memberi bantuan dalam melindungi nyawa dan harta;
*      Melindungi harta awam daripada hilang atau rosak;
*      Menghadiri mahkamah jenayah dan jika diperintah dengan khas, mahkamah sivil, dan menjaga ketenteraman didalamnya dan
*      Mengiring dan menjaga banduan-banduan termasuk orang-orang lain yang ada dalam jagaan polis.

Seksyen 21 pula ialah tugas mengatur, mengawal dan menjaga lalulintas di jalan awam.
OBJEKTIF
*      Mengurangkan kadar jenayah ke tahap yang minimum;
*      Meningkatkan kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan pembangunan sumber manusia;
*      Meningkatkan kadar penyelesaian kes dan pembenterasan jenayah terancang;
*      Mengurangkan bekalan dan permintaan dadah;
*      Meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan serta keperluan logistik yang optima bagi menentukan kejayaan PDRM;
*      Meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, ketenteraman awam dan keselamatan negara dan
*      Mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan perolehan dan analisis risikan keselamatan bagi membanteras kegiatan yang mengancam keselamatan negara dan/atau ketenteraman awam.

PANGKAT DALAM JABATAN POLIS
Polis Diraja Malaysia mempunyai 16 peringkat pangkat yang dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu kumpulan Pegawai Kanan Polis bermula dari pangkat Inspektor sehingga Inspektor General Polis, dan Kumpulan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel.
            Kumpulan Pegawai Kanan Polis terbahagi kepada 2 kelompok di mana pegawai berpangkat Asisten Superintendan Polis ke atas diklasifikasikan sebagai Pegawai Polis Diwartakan manakala Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan Cif Inspektor pula dikenali sebagai Pegawai Polis Tidak Diwartakan. Selain itu, Pegawai Kanan Polis juga boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama, iaitu Kumpulan Komisioner (ACP-IGP), Kumpulan Superintendan (ASP-SUPT) dan Kumpulan Inspektor (INSP-C/INSP). Manakala Peringkat Pegawai Rendah Polis dan Konstabel pula bermula dari pangkat Konstabel sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor. Pangkat Korperal sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor juga dikenali sebagai Pegawai Subordinat. Berikut adalah senarai istilah pangkat-pangkat yang terdapat dalam PDRM :-

Pegawai-Pegawai Kanan Polis                                             Pegawai Rendah Polis
-          Inspektor General Polis (IG)                                       - Sub-Inspektor (SI)   
-          Deputi Inspektor General Polis (DIG)                        - Sarjan Mejar (SM)
-          Komissioner Polis (CP)                                               - Sarjan (SJN)
-          Deputi Komisioner Polis (DCP)                                 - Koperal (KPL)
-          Senior Asistan Komisioner I (SAC I)                         - Lans Koperal (L/KPL)
-          Senior Asistan Komisioner II (SAC II)                      - Konstabel (KONST)
-          Asistan Komisioner Polis (ACP)
-          Superintandan Polis (SUPT.)
-          Deputi Superintendan Polis (DSP)
-          Asistan Superintendan Polis (ASP)
-          Cif Inspektor (C/INSP)
-          Inspektor (INSP)
-          Inspektor Percubaan (P/I)

JABATAN-JABATAN
Polis Diraja Malaysia terbahagi kepada 7 jabatan utama yang terdiri Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Logistik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDN/KA), Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil. Jabatan-Jabatan ini diketuai oleh pengarah-pengarah yang berpangkat Komisioner Polis.

            Secara amnya, Jabatan Pengurusan bertanggungjawab dalam hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran Polis Diraja Malaysia. Jabatan Siasatan Jenayah pula memainkan peranan dalam penyiasatan kes-kes jenayah serta menjalankan tangkapan dan pendakwaan pesalah-pesalah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik memikul tanggungjawab dalam penyiasatan dan pendakwaan kes-kes yang berhubung dengan masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil adalah menjalankan penyiasatan, menangkap, dan mendakwa penjenayah kolar putih, Jabatan Logistik sebagai jabatan yang menyokong Polis Diraja Malaysia dari segi kewangan, bekalan, persenjataan dan lain-lain, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam berperanan sebagai 'operational wing' Polis Diraja Malaysia, dan Cawangan Khas sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam pengumpulan maklumat dan risikan keselamatan.

PROSPEK KERJAYA


Peluang sentiasa terbuka untuk setiap individu dalam memilih salah satu daripada unit-unit di bawah ini mengikut jabatan bagi merealisasikan impian masing-masing.

Pengurusan
-          Cawangan Pentadbiran
-          Cawangan Kebajikan
-          Bahagian Latihan
-          Cawangan Penyelidik/ Pembangunan
-          Cawangan Perkhidmatan
-          Bahagian Tatatertib
-          Bahagian Perkhidmatan/ Perjawatan
-          Bahagian Hal Ehwal Awam
-          Cawangan Perhubungan Awam
-          Bahagian Istiadat
-          Cawangan Pembantu
-          Cawangan Persatuan Polis
-          Cawangan Kem Komandan
-          Majlis Sukan PDRM

Jabatan KDN/KA
-          Urusetia
-          Pentadbiran
-          Pembangunan / Bekalan
-          Gerakan
-          Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP)
-          Unit Berkuda
-          Pasukan Gerakan Khas
-          Cawangan Trafik
-          Cawangan Marin
-          Unit Udara Polis


PELUANG KERJAYA
Polis DiRaja Malaysia adalah salah satu perkhidmatan yang terbesar di negara ini. Oleh kerana fungsinya yang berbeza-beza dan unik maka sudah semestinya ia memberi banyak peluang yang tidak boleh didapati dalam perkhidmatan lain. Pelbagai bahagian yang terdapat di dalamnya boleh menawarkan peluang kerjaya yang mencabar dan menyeronokkan. Di samping berpeluang berkhidmat untuk negara, kita juga dapat mencungkil dan mengasah bakat terpendam yang mungkin ada pada diri masing-masing.
            Individu yang berminat untuk memasuki perkhidmatan polis melalui 3 cara iaitu, sebagai Konstabel Tambahan, Konstabel dan Inspektor. Sekiranya telah terpilih, calon akan menjalani kursus asas selama 3-12 bulan di pusat-pusat latihan polis bagi mempelajari undang-undang, sains kepolisan, kawad, persenjataan, latihan jasmani, termasuk seni mempertahankan diri. Calon juga akan menjalani latihan amali di daerah-daerah polis selama 9 bulan. Setelah itu, setiap ahli pasukan yang berkhidmat mesti melalui tempoh percubaan selama 3 tahun sebelum disahkan dalam jawatan.

KELAYAKAN


INSPEKTOR LELAKI/ PEREMPUAN


 
i)        Rujukan Fail : FTMT 3/2006 Dlm. KPN (PR) 114/2/1
ii)      Jabatan : Polis Diraja Malaysia
iii)    Kumpulan Perkhidmatan: Pengurusan & Profesional, Sokongan
(Skim Perkhimatan Bersepadu)
iv)    Klasifikasi Perkidmatan : Perkhidmatan Polis
Syarat Lantikan
-          Wargenegara Malaysia
-          Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak melebihi 26 tahun pada tarikh tutup iklan 
-          Kelayakan:-
i)        Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau kelayakan diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan ATAU
ii)      Diploma dalam bidang pentadbiran awam atau perakaunan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setara dengannya (Gaji permulaan ialah pada Gred YY11: P1T4 RM1,280.13); ATAU
iii)    Diploma Kejuruteraan dalam bidang-bidang yang diperlukan Senibina, Ukur atau Ukur Bahan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred YY11 : P1T5 RM1358.78); DAN
iv)    Kepujian Bahasa Malaysia/Bahasa Melayu (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.
v)      Permohonan dikehendaki memastikan kelayakan yang dimiliki adalah diiktiraf oleh Kerajaan untuk tujuan lantikan ke dalam perkhidmatan awam. Sila rujuk ke Unit Pengiktirafan Kelayakan, Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia untuk mengenal pasti pengiktirafan kelayakan yang dimiliki atau layari laman web pengitirafan kelayakan http://www.jpa.gov.my/.

-          Nota: Calon-calon yang mempunyai kelulusan akedemik yang lebih tinggi boleh juga memohon.

KONSTABEL


Syarat Lantikan
-          Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak melebihi 26 tahun pada tarikh ditemuduga.
-          Kelayakan :-
i)        Lulus SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan DAN mendapat Kepujian Bahasa Malaysia (termasuk lulus Ujian Lisan), atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan ATAU;
ii)      Telah menduduki SPM mengikut sistem terbuka dengan mendapat Kepujian dalam 2 mata pelajaran termasuk Bahasa Malaysia dan lulus dalam empat mata pelajaran lain dalam satu peperiksaan atau 2 peperiksaan dalam tempoh 3 tahun berturut-turut.
iii)    Calon-calon yang memiliki kelulusan akademik yang lebih tinggi dari kelulusan SPM juga layak memohon.

KONSTABEL TAMBAHAN

Syarat Lantikan
-          Warganegara Malaysia.
-          Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak melebihi 26 tahun pada tarikh temuduga.
-          Tamat Tingkatan III atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya.
-          Berkebolehan bertutur dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan memuaskan.
-          Keutamaan diberi kepada calon-calon yang mempunyai pengalaman mengendaklikan bot, berkebolehan di dalam bidang sajian makanan atau memiliki lesen memandu Kelas D.

KELAYAKAN FIZIKAL
Kelayakan fizikal bagi calon yang ingin memasuki perkhidmatan polis hendaklah mempunyai ukuran badan dan pancaindera seperti berikut:

i)        Tinggi sekurang-kurangnya 1.63m bagi calon lelaki dan 1.57m bagi calon wanita tanpa sepatu.
ii)      Berat badan sekurang-kurangnya 50kg bagi calon lelaki dan 48kg bagi calon wanita.
iii)    Mempunyai ukuran dada yang biasa sekurang-kuranya 81cm dan 86cm semasa menarik nafas (lelaki sahaja).
iv)    Lulus ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasingan.
v)      Pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat.
vi)    Diakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan termasuk pemeriksaan X-ray.











10 comments:

  1. Ryyzal,

    Satu artikel yang cukup menarik! Terima kasih. Tapi saya ada satu permintaan. Boleh tak Ryyzal tunjukkan kelayakan untuk ASP atau Kadet ASP?

    Setahu saya, itu adalah tahap tertinggi yang ditawarkan untuk kemasukan ke PDRM, betul tak? Atau ada tahap yang lagi tinggi? Tolong jelaskan.

    Sekali lagi, ribuan terima kasih! Teruskan usaha kamu yang banyak menolong masyarakat jelata !

    ReplyDelete
  2. woi! kadet ASP dah xde la! skarang inspektor nak gun ijazah...

    ReplyDelete
  3. Bgaiaman pula dengan latihan yang diberikan mengikut pangkat? Seperti contoh, Latihan khas untuk pangkat Inspektor Jeneral Polis, Inspektor dan Sarjan Major?

    ReplyDelete
  4. Bgaiaman pula dengan latihan yang diberikan mengikut pangkat? Seperti contoh, Latihan khas untuk pangkat Inspektor Jeneral Polis, Inspektor dan Sarjan Major?

    ReplyDelete
  5. Bagaimana kalau umur belum sampai 18 sebab tunggu harijadi pada tahun ke 18 boleh diamafkan kan ?

    ReplyDelete
  6. Bagaimana kalau mau jadi asp polis

    ReplyDelete
  7. Kelayakan fizikal semua okay kecuali tinggi takcukup 7cm aduhhh..macam mana ituu

    ReplyDelete
  8. The 8 best casinos with slots and video poker in 2021
    With over 500,000 of 공주 출장마사지 the latest slot machines, you can play both the 포천 출장샵 traditional casino and casino 여주 출장샵 games on any device. All of these 전라북도 출장마사지 games 여주 출장샵 have a

    ReplyDelete