Sunday, 11 March 2012

Pengenalan Kerjaya


Kerjaya merujuk kepada bagaimana individu melihat diri mereka dan hubungannya dengan apa yang dilakukan.  Ianya juga merujuk kepada apa yang dicita-citakan oleh individu sepanjang kehidupannya.  Selain daripada itu, kerjaya juga merujuk kepada kerja dan tingkahlaku yang dilakukan oleh individu yang mengambil tempat sepanjang kehidupannya. 

Pemilihan kerjaya pada masa kini merupakan satu cabaran besar yang perlu dilalui oleh semua individu yang bakal menempuhi alam pekerjaan.  Seringkali didengari rungutan pelbagai pihak tidak kira di media massa seperti televisyen dan akhbar, dan juga menjadi perbualan harian masyarakat Malaysia tentang masalah kekurangan pekerjaan yang terpaksa ditempuhi para graduan.  Justeru, pemilihan program yang sesuai di universiti terutamanya sangat penting kepada para pelajar.  Kesilapan membuat pilihan kursus yang kurang mempunyai peluang pekerjaan akan membuatkan para graduan terpaksa menganggur atau memilih kerjaya yang tidak sesuai dengan kelulusan.

Peluang kerjaya pada masa kini tidak lagi terbatas kepada kerjaya seperti doktor, guru, jurutera, peguam dan sebagainya yang telah mengambil tempat sejak puluhan tahun dahulu.  Seiring dengan perkembangan teknologi dan keterbukaan masyarakat pada masa kini, wujud pekerjaan seperti ethical hacker, web designer, web developer, professional diver, professional skateboarder, kartunis, kerjaya sebagai ahli sukan profesional dan sebagainya yang mana satu ketika dulu tidak diterima sebagai kerja.  Justeru, adalah penting bagi kaunselor untuk melengkapkan diri dengan maklumat mengenai kerjaya terkini agar dapat disebarkan kepada pelajar dengan berkesan.

No comments:

Post a Comment